Saturday, December 9, 2006

Menjelang 2020 : Kemiskinan tegar yang perlu ditamatkan..


Petikan ucapan YAB Perdana Menteri pada tahun 2005 berkaitan dengan kemiskinan..

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pendekatan mengatasi kemiskinan perlu memberi penekanan kepada aspek pencegahan sebelum kemiskinan itu berlaku. Perdana Menteri berkata jika dahulunya aspek pembasmian kemiskinan itu yang dititikberatkan tetapi dalam keadaan sekarang aspek pencegahan kemiskinan itu yang perlu diberi penekanan.


Beliau berkata sekiranya usaha bersungguh-sungguh dilakukan untuk mencegah kemiskinan daripada berlaku, maka kemiskinan tidak akan wujud. "Tetapi kalau dibiarkan rakyat dalam keadaan terbiar maka akan berlakulah kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Mengenai Kemiskinan Bandar dan Keluarga Berpendapatan Rendah: Ke Arah Rancangan Malaysia Kesembilan di sini Selasa.

Abdullah berkata usaha untuk memperkasakan rakyat seperti memberi mereka peluang pekerjaan dan peluang pelajaran kepada anak-anak mereka perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak ada lagi golongan miskin atau separa miskin di negara ini. Untuk mengatasi kemiskinan di bandar yang wujud hasil akibat penghijrahan golongan miskin luar bandar ke bandar ialah dengan cara memberi peluang pekerjaan yang secukupnya kepada mereka ini, katanya. Beliau berkata golongan ini yang ingin mencari rezeki secara jujur di bandar perlu diberi peluang untuk bekerja sendiri seperti menjaja.

"Menjaja akan memberikan mereka pendapatan yang baik dan oleh itu kawasan menjaja yang sesuai perlu diwujudkan kepada mereka," katanya. Beliau menggesa pihak dewan bandar raya dan pihak berkuasa tempatan memberi perhatian kepada kedudukan penjaja di kawasan masing-masing umpamanya dengan memberi lesen kepada mereka yang ingin menjaja. Abdullah berkata strategi menyeluruh perlu diambil untuk mengatasi kemiskinan di kalangan rakyat, bukan sekadar dengan mewujudkan peluang ekonomi.

Perdana Menteri berkata pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak boleh mengatasi kemiskinan relatif yang berpunca daripada agihan kekayaan dan keuntungan yang tidak seimbang. "Oleh itu penyediaan kemudahan sosial, pendidikan, kesihatan dan perumahan perlu disediakan sebagai saluran untuk rakyat mengupayakan diri mereka bagi melepasi halangan kemiskinan," katanya. Dalam ucapannya Perdana Menteri berkata dalam tempoh 15 tahun lagi iaitu apabila negara mencapai status negara maju, beliau tidak mahu lagi melihat kemiskinan tegar wujud di negara ini.

"Saya tidak boleh menerima hakikat bahawa pada 2020, masih wujud lagi golongan miskin tegar," katanya.

Abdullah juga tidak mahu isu kemiskinan dikaitkan dengan isu etnik kerana ia boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat. Beliau berkata dasar membangunkan modal insan, memperkasa golongan miskin, mengintegrasi golongan miskin ke dalam ekonomi bandar, pendekatan pembangunan menyeluruh dan penglibatan semua sektor adalah rencah kepada usaha mencegah kemiskinan yang perlu diberi perhatian. -- BERNAMA

1 comment:

Sandra said...

Hello Sweet Smiles for you! :)